KIT & ASSOCIATES
ADVOCATES & SOLICITORS : PEGUAMBELA & PEGUAMCARA
hero_pattern.png

News

Articles & Case Updates

click to view

Kes ibu tanam 
mayat anak

KUALA LUMPUR 11 Sept. – Mah­kamah Majistret Selayang dekat sini menetapkan 13 Oktober ini untuk sebutan semula kes seorang ibu yang didakwa menanam mayat anaknya di dapur sebuah rumah teres di Taman Usaha Jaya, Kepong, Mac lalu.

Tan Boa Jia

Tan Boa Jia

Majistret Nurul Izzah Hasan Basri memutuskan demikian hari ini selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Sharifah Zulia Balqish Syed Agil bagi memberi peluang kepada pihak pembelaan Tan Boa Jia, 33, untuk meneliti dokumen-dokumen berkaitan sebelum mengemukakan rayuan.

Tiada bantahan diterima daripada peguam Kitson Foong yang mewakili wanita itu yang berdepan dakwaan melupuskan barang kes dengan menanam mayat Evan Loo Yong Shen, 9, kira-kira pukul 2 petang, 29 Mac lalu di rumah beralamat No. 26, Jalan 10, Taman Usaha Jaya, Kepong di sini.

Pertuduhan terhadap Boa Jia yang telah membuat pengakuan tidak bersalah ketika pertama kali dihadapkan ke mahkamah pada Jun lalu itu dibuat mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan boleh didenda.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu de­ngan niat untuk melin­dungi suaminya, Loo Chon Wen, 33, daripada hukuman mati mandatori mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan selepas lelaki yang bekerja sebagai pengutip hutang itu didakwa membunuh anak mereka pada masa, tarikh dan tempat sama.

Sebelum ini, Boa Jia telah diperintahkan menjalani pemeriksaan mental sebanyak dua kali di Hospital Bahagia, Ulu Kinta, Tanjung Rambutan, Perak bagi me­ngesan sama ada tertuduh menga­lami sindrom kemurungan akibat sering dipukul suami ataupun tidak.

Ketika ditemui di luar mah­kamah, Kitson memaklumkan la­poran terperinci daripada pihak hospital telah dikeluarkan pada 31 Julai lalu dan pihaknya akan bersedia dengan rayuan bagi mengurangkan hukuman pada sebutan akan datang.

Menurutnya, surat tersebut men­jelaskan bahawa terdapat sim­ptom akibat penderaan terhadap anak guamnya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/mahkamah/sebutan-kes-ibu-tanam-8232-mayat-anak-13-oktober-1.134979#ixzz5bdRInC00
© Utusan Melayu (M) Bhd

kitson foong